Sunday 9 October 2011

Manir Maju 2015?

Manir Maju 2015! Itulah SLOGAN UMNO yang diketuai oleh Pak Usop Awang Hitam, tokoh UMNO yang selalu mempromosikan kata-kata lunak itu. Slogan atau motto ini telah dijaja di merata tempat terutama di dalam Fan Page atau Wall FB beliau.

Memang slogan seperti itu indah, malah ianya amat bagus untuk semua penduduk Manir khususnya, akan tetapi setiap slogan yang dilaungkan mestilah disandarkan dengan sesuatu yang realistik dan praktikal melalui kajian yang medalam dan menyeluruh, bukan hanya sekadar mainan politik murahan untuk meraih sokongan semata-mata. Idea-idea seperti itu tidak lebih dari angan-angan seorang Pak Pandir Moden yang agak dangkal ilmu berkaitan dengan proses "urbanisasi". Selayaknya, slogan seperti itu datangnya dari seseorang yang tidak berpendidikan tingi dan tidak berpandangan jauh.

Jauh sekali dari lubuk hati penulis untuk menidakkan slogan tersebut atas dasar rasa sakit hati atau yang seumpama dengannya. Akan tetapi luahan ini hanyalah tidak lebih dari rasa kebertanggung-jawaban untuk memperbetulkan  persepsi terhadap "maju" itu sendiri.

Umum mengetahui, Manir adalah di antara  salah satu mukim dari banyak-banyak mukim di dalam Sistem Pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Sehingga kini belum ada lagi mana-mana bandar atau bandaraya-bandaraya di Malasyia dinobatkan sebagai bandaraya maju malah mungkin tidak ada satu pun lagi yang memohon untuk menjadikan bandaraya tersebut "maju" menjelang tahun-tahun tertentu. Inikan pula, Manir yang hanya merupakan satu pekan kecil yang sesuai diungkapkan sebagai mukim.

Apa yang selalu sinonimnya dengan "maju" dalam kontek urbanisasi ialah peringkat kenegerian yang merupakan tahap yang paling rendah dari sudut pentadbirannya. Contoh seperti Terengganu Maju 2020 mungkin sesuatu yang perlu dilihat sebagai munasabah. Ini kerana, Terengganu itu sendiri mempunyai sistem pentadbiran dan sistem kewangan atau perbendaharaan yang tersendiri. Jesteru, amat jauh bezanya dengan Manir itu sendiri, jangan hendak dikatakan perbendaharaan, rupa-bentuk "ofis" pun belum lagi ujud untuk tujuan pentadbiran. Malah jauh lebih teruk lagi ialah sejarah pembangunan Manir itu sendiri terumamanya sekitar Pasar Sabtu "Pekan Sehari" terlalu dhoif untuk diperkatakan.

Sewajarnya, Pasar Manir perlu mendapat perhatian yang khusus andainya mahu memajukan Manir itu sendiri. Ini adalah sesuai dengan sifat pasar itu sendiri yang menjadi tumpuan ramai pada setiap hari Sabtu.

Kita tidak perlu pergi lebih jauh lagi dari apa yang ada sekarang. Setiap pengunjung boleh menilai sendiri bertapa tumpuan oleh kerajaan tempatan terhadap Pasar Manir adalah terlalu minima. Sebagai contoh ialah penambah-baikan dengan menaikkan taraf Pasar Manir itu sendiri kepada bangunan yang lebih selesa. Pada awal proses penambah-baikan itu pada lebih daripada 2 tahun yang lalu telah sedikit sebanyak melegakan ramai pihak. Bukan sekadar bangunan baru sahaja, malah semua pihak termasuk pemborong, penjual, pembeli dan juga pengguna jalan-pintas akan merasa selesa dengan perubahan yang bakal dilakukan.

Difahamkan, kontraktor yang melaksanakan pembinaan tersebut telah bertukar-ganti beberapa kali. Atas alasan apa kontraktor bertukar-tukar tidaklah pula ada jawapannya. Namun agak jelas, sebahagian dari fasa pembinaan telah nampak usang dan tidak menampakkan yang proses pembinaan akan berakhir.

Malangnya, setelah lebih 2 tahun memulakan penambah-baikan Pasar Manir berlalu, ianya seloah-olah tidak lagi memberi apa-apa erti kepada semua pihak, tak terkecuali kepada pengguna jalan raya. Kesesakan jalan-pintas tetap berpanjangan dan tiada menampakkan kesudahannya.

Pasar Manir, yang mana peniaga-peniaganya terpaksa menggunakan bukan sahaja bahu jalan, malah hampir menutup keseluruhan jalan. Bagi pengguna-jalan raya, mereka boleh faham dan boleh terima waktu perniagaan yang digezetkan oleh pihak berkuasa tempatan iaitu dari jam 7.00 pagi hinggalah ke 11.00 pagi, akan tetapi seandainya ia berlarutan sehingga melebihi jam 12.00 tengahari, ianya telah menyebabkan ketidak-selesaan orang ramai.

Jam telah melewati pukul 12.00 tengahari, namum sebahagian besar dari peniaga masih lagi berniaga kalau tidak pun, masih lagi dalam proses mengemas barangan dagangan mereka. Saya tidak menyalahkan peniaga secara total. Kedatangan mereka ke sini ialah untuk berniaga. Seandainya mereka ditempatkan pada usatu tempat yang khusus, semestinya, suasana ini idak akan berlaku atau sekurang-kurangnya kesesakan jalan adalah di tahap yang minima.

Tambahan pula, premis yang digazetkan kepada mereka itu akan menyebabkan suasana pasar harian yang lebih harmoni dan mesra, cantik, tersusun dan bersih. Keadaan yang sedemikian merupakan sebahagian dari ciri-ciri Manir Maju dan bukan dengan keaadaan yang carca-merba yang sudah berabad kita semua lalui. Saya merasakan bahawa itu adalah antara ciri-ciri penambah-baikan Pasar Manir yang telah diambil-kira oleh bahagian perancangan Majlis Bandara Kuala Terengganu. Jesteru itu, masalah kelewatan siapnya pembinaan pasar Manir adalah masalah perlaksanaan dan tidak mustahil ini juga merupakan masalah luaran yang disebabkan oleh campur-tangan tangan-tangan ghaib yang mempunyai kepentingannya yang tersendiri.

Malangnya, premis sebenar tempat mereka berniaga masih lagi tidak siap-siap sehingga ke hari ini. Entahkan bila siapnya tiada siapa yang tahu. Mungkinkah hanya pada tahun 2015 Pasar baru Manir akan siap dan boleh beroperasi? Sehingga kini hanya Pak Usop Awang Hitam mungkin ada jawapannya!

Sama-samalah kita tunggu.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes